in

5 destinasi percutian luar negara dengan bajet bawah RM 500

Dah boleh pilih tarikh sesuai nak pergi bercuti.

Kadang-kadang tengok kawan-kawan pergi bercuti luar dan dalam negara, rasa cemburu tu pasti ada kan? Kalau tak, takpelah. Sesetengahnya pula masih belum bekerja juga sudah menjelajah ke seluruh dunia. Hebat. Mereka menabung dari kecilnya agaknya. Hiks. Zaman sekarang ni, sebenarnya zaman serba boleh. Jika anda pandai mengatur kewangan dan rajin membaca tips percutian dengan bajet minimum, pastinya banyak destinasi percutian yang tersenarai di dalam percutian idaman anda.

Jika di Malaysia, berbekalkan bajet minimum RM 500, itu seperti biasa sahaja. Tetapi, tahukah anda dengan bajet minimum RM 500, terdapat banyak destinasi percutian luar negara yang pasti membuatkan anda tergamam. Eh, betul ke ni ? Semua itu tidak mustahil jika anda boleh mengurus bajet percutian anda dengan betul dan pandai-pandailah aturkan perkara yang diperlukan dan tidak diperlukan.

Cerita panjang pun nanti orang malas baca, jadi tak perlu tunggu lagi. Teruskan membaca sampai habis dengan perkongsian untuk anda, 5 destinasi percutian luar negara yang anda boleh kunjungi dengan bajet minimum RM 500. Tak percaya? Kalau tak percaya, baca sampai habis. Lepastu baru boleh fikir ini betul ke bohong. Hiks

#1 Hatyai

DSC_7134

Hat Yai merupakan sebuah tempat yang dekat untuk ke Thailand dari selatan Malaysia. Siapa yang tidak tahu tentang Hat Yai? Ianya merupakan salah satu destinasi pelancongan yang popular dalam kalangan rakyat Malaysia kerana jaraknya dekat dengan hanya menggunakan jalan darat. Jaraknya pula dengan hanya mengambil masa selama beberapa jam dari Bukit Kayu Hitam di Kedah.

Di Hat Yai, jangan ketinggalan untuk mengunjungi Pasar Terapung Hat Yai Khlong Hae yang sangat terkenal dengan penjaja yang menjual pelbagai jenis barangan seperti makanan dan sebagainya dengan hanya menjual di atas sampan atau bot kecil.

Selain itu, anda juga boleh mengunjungi lokasi-lokasi lain yang menarik seperti Taman Perbandaran, Muzium Magic Eye 3D, Kuil Wat Hat Yai Nai dan air terjun Namtok Ton Nga Chang. Boleh dikatakan, selain menjadi lokasi tarikan tempat bersejarah dan menyaksikan panorama alam semulajadi, anda juga boleh membeli belah pelbagai jenis barangan dengan harga yang berpatutan. Sebagai contoh, bagi mereka yang ingin membeli cenderahati, lokasi ini dibanjiri dengan pasar kering dan basah, kedai serbaneka dan pusat membeli-belah yang pasti menarik minat mereka gemar berbelanja. Tambahan lagi, bagi mereka yang sedang mencari ketenangan, lawati Pantai Samila yang indah dan santai sambil mengagumi patung Golden Mermaid. 

Bajet ringkas ;

Pengangkutan: Anda boleh ke Hat Yai dengan menaiki bas atau kereta api dari Kuala Lumpur, dengan harga tiket serendah RM48. Anda juga boleh mengambil kereta api Perkhidmatan ETS dari KL ke Padang Besar dengan kos sekitar RM80. Kemudian, anda boleh menaiki bas atau mini van untuk terus ke kota Hat Yai.

Makanan: Jangan risau, terdapat pelbagai pilihan makanan Melayu dan halal di Hat Yai. Gerai-gerai jalanan mereka menawarkan aneka sajian dengan harga serendah THB50 (RM6). 

Penginapan: Bergantung kepada bajet anda, terdapat bilik hostel murah dengan harga serendah RM30. Tetapi anda boleh mendapatkan penginapan yang lebih selesa jika anda bersedia untuk membayar lebih.

#2 Surat Thani

Surat Thani  merupakan sebuah bandar yang terletak di Amphoe Mueang. Terletak di selatan Thailand. Jaraknya hanya 651 km dari Bangkok. Ianya merupakan destinasi pelancongan yang ideal untuk pengembara atau bagi mereka yang inginkan ketenteraman. Terdapat pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan sehingga anda mungkin tidak tahu aktiviti apa yang harus dimulakan dahulu.

Bagi mereka yang gemar mencuba makanan eksotik, bolehlah pergi ke Talad Sanjoa, yang mana merupakan sebuah pasar malam yang menawarkan ratusan hidangan tempatan dan antarabangsa. Kalau tak halal, anda tengok jelah. Almaklulamlah, di Thailand ini semua makanannya kalau dilihat enak-enak belaka. Tapi sebenarnya, hmmm.

Tambahan lagi, pergila ke Surat Thani City Pillar Shrine untuk menikmati pemandangan yang menakjubkan! Apapun pilihan anda, bandar yang indah ini tidak akan mengecewakan anda dengan pelbagai hiburan yang tidak berkesudahan. Bagi mereka yang inginkan kelainan merasai keindahan kota, anda bolehlah menyewa basikal tiga roda dan naiklah bersama teman-teman. Jangan terlepas peluang untuk menikmati pemandangan unik di bandar ini.

Bagi pencinta pantai dan parti, anda boleh menaiki feri ke Koh Samui atau Koh Phangan di mana anda oboleh menikmati air jernih dan menghadiri parti Full Moon mereka yang terkenal di serata dunia.

Secara ringkasnya, ini merupakan bajet minumum yang diperlukan di Surat Thani ;

Pengangkutan: Tiket penerbangan ke Surat Thani boleh didapati dengan harga serendah RM154. Anda juga mempunyai pilihan untuk mengambil jalan darat dari Kuala Lumpur dengan menaiki bas atau kereta api dari Kuala Lumpur ke Hat Yai dari harga RM48, di mana anda akan perlu beralih ke laluan Hat Yai – Surat Thani. Tambang kereta api dan bas bagi laluan ini bermula dari RM33.

Makanan: Surat Thani adalah syurga makanan yang agak murah. Cuba masakan Thai asli dengan harga serendah THB50 (RM6). 

Penginapan: Bagi mereka yang lebih menggemari penginapan yang selesa semasa melancong, buat tempahan atas talian sekurang-kurangnya 2 bulan sebelum tarikh penginapan anda untuk mendapatkan hotel serendah RM60 semalam. Jika anda inginkan penginapan kos rendah, anda boleh tinggal di hostel dari hanya RM19.21 semalam. Atau pun, anda boleh cuba untuk cari mana-mana aplikasi mudah untuk menempah hotel secara online.

#3 Phuket 

download

Siapa yang tidak tahu tentang keindahan Phuket yang menjadi sebutan orang. Permata Asia Tenggara ini terkenal dengan pantai berpasir putih yang indah, air laut yang biru dan jernih, masakan eksotik yang lazat serta pelbagai pilihan aktiviti lasak yang menarik dan pemandangan yang menakjubkan. Jika anda seorang yang gemar melakukan aktiviti di waktu malam, Patong adalah tempat yang sesuai untuk anda – ia hanya 45 minit dari Lapangan Terbang Phuket.

Patong menawarkan keseronokan yang tidak berkesudahan, terutamanya di Soi Bangla yang terkenal dengan deretan kelab malam, bar, restoran, penjaja dan persembahan jalanan yang pasti dapat menghilangkan kebosanan anda.

Jika anda mengidamkan pantai bersih dengan air laut yang biru dan penuh dengan pelbagai hidupan laut, cuba terokai pulau-pulau yang indah di sekitar Phuket. Naiki feri ke Koh Phi Phi, Koh Phangan dan Pulau Raya untuk aktiviti sukan air seperti snorkeling dan menyelam.

Bajet minimum yang diperlukan ialah ;

Pengangkutan: Seperti biasa. Tempah tiket penerbangan awal. Harga tiket bermula hanya dari RM149 dan ke atas (bergantung kepada tarikh perjalanan anda). Anda juga boleh menaiki bas dari Kuala Lumpur ke Hat Yai untuk RM48, dan dari sana bertukar ke laluan bas yang membawa anda terus ke Bandar Phuket pada harga sekitar THB 380 (kira-kira RM45). 

Makanan: Terdapat pelbagai pilihan masakan asli Thai boleh dinikmati. Penjaja makanan di jalanan Phuket menawarkan pelbagai makanan tempatan pada harga serendah THB50 (RM6). 

Penginapan: Anda boleh dapatkan penginapan dengan harga serendah RM40 di hostel dan hotel-hotel murah yang berada di luar persisiran bandar. Bagi memudahkan anda merancang bajet minumum, cuba lah untuk menempah awal menggunakan laman web yang disediakan.

#4 Medan

download (1)

Medan merupakan bandar ketiga terbesar di Indonesia yang terkenal dengan gabungan budayanya yang unik. Ia merupakan salah satu destinasi yang menarik untuk penggemar sejarah dan seni bina, kerana ianya dipenuhi dengan bangunan lama yang dibina pada era pemerintahan Belanda berpuluh tahun yang lalu.

Anda boleh berjalan-jalan di sekitar kota Medan dan lawati pelbagai bangunan ikonik seperti Pusat Pejabat Pos, Water Tower, Dewan Bandaraya lama dan Titi Gantung. Istana Maimoon yang dibina oleh Sultan Deli pada tahun 1800-an adalah salah satu destinasi yang paling popular di Medan. Di situ anda boleh melihat sendiri seni bina budaya Melayu purba yang menakjubkan berserta dengan artifak istiadat istana yang unik.

Jangan lupa untuk singgah di Masjid Medan, kuil kuno Maha Vihara Maitreya, Tanah Tinggi Brastagi dan air terjun dwi-warna Sibolangit. Anda juga boleh menaiki bas dari Medan ke gunung berapi Danau Toba yang menakjubkan dan juga merupakan salah satu keajaiban alam semula jadi dunia. 

Bajet minimum ringkas untuk Medan ialah ;

Pengangkutan: Anda boleh menaiki feri dari Pulau Pinang ke Medan dengan harga tiket yang bermula dari RM180 (pergi balik) atau menaiki pesawat dari RM134 (sehala).

Makanan: Makanan tempatan boleh didapati dari harga serendah RM5 dari warung, manakala harga makanan di restoran kebiasaannya bermula dari RM8 hingga RM40 untuk seorang. 

Penginapan: Anda boleh mendapatkan penginapan dengan harga bermula daripada RM60 di hotel-hotel murah di luar persisiran bandar.

#5 Singapura

Negara yang juga dikenali sebagai Kota Singa ini adalah salah satu daripada destinasi pelancongan popular walaupun bersaiz kecil. Ia dianggap sebagai salah satu pelabuhan paling sibuk dan antara pusat perdagangan yang paling makmur di dunia. Orchard Road adalah syurga membeli-belah untuk yang gemar berbelanja; ianya dibanjiri dengan puluhan kedai-kedai dan pusat membeli-belah di setiap arah.

Terdapat juga tarikan pelancongan yang lain untuk memastikan anda sentiasa terhibur  seperti Pulau Sentosa ,Universal Studios, Zoo Singapura, Taman Burung Jurong, Underwater World, Marina Bay, Chinatown dan banyak lagi. Namun, pertukaran mata wang yang tinggi menjadikannya destinasi pelancongan yang paling mahal dalam senarai ini. Tetapi masih berada di dalam bajet tidak melebihi RM 500. Yelah, kalau lebih, mana mungkin akan tersenarai di sini kan?

Tetapi jangan risau, terdapat pelbagai cara untuk anda  pastikan percutian di Singapura berada di bawah lingkungan bajet anda. Mari kita lihat bajet yang diperlukan ;

Pengangkutan: Perjalanan bas dari KL ke Singapura mengambil masa lebih kurang 5-7 jam, bergantung kepada lalu lintas. Harga tiket bermula dari RM41.80. 

Makanan: Harga makanan jalanan kebiasaannya bermula daripada RM15. 

Penginapan: Anda boleh mendapatkan hostel di Hostelworld dari hanya RM59.09 semalam atau bilik dari RM124 di Airbnb.

images (4)

Haaaaa. Jadi siapa kata dengan bajet serendah ini anda tidak boleh ke luar negara? Siapa kata ? Semuanya boleh asalkan anda bijak menguruskan kewangan. Anda bijak mengatur percutian. Contohnya sentiasa mengikuti promos tiket murah dan sebagainya. Yang penting, rancanglah awal dan buatlah persediaan rapi, supaya nanti anda tahu merancang perbelanjaan sepanjang percutian.

Akhir kata, selamat mengatur percutian dengan bajet semampu anda.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Itinerari 4 gadis ke Lombok-Bali-Flores selama 8hari 7malam dengan kos RM 1659. Memang puas hati!

Travel to Bromo-Tengger-Semeru National Park