in

5 Negara Yang Paling Murah Untuk Dikunjungi

Pftt, tak termasuk kos penerbangan lah.

Melihat dunia ini tidak perlu dengan wang yang banyak, cukup dengan mempunyai minat dan semangat yang mendalam untuk mengembara dan merasai pengalaman baru yang lain daripada yang lain.

Betul, anda tidak perlu ke New Zealand untuk bermain salji, kerana di India dan Pakistan juga menawarkan pengalaman serupa dengan harga yang jauh lebih murah. Eh, sekejap, sekejap. Bukanlah maksudnya salah ke New Zealand, tapi cuma nak bagitahu yang kita berhak untuk merasai pengalaman serupa dengan kemampuan yang kita ada. Kalau mampu, pergilah melancong ke bulan pun tidak mengapa.

Jadi saya senaraikan beberapa buah negara yang murah dan tidak akan mengeringkan poket anda. Pada pendapat saya, negara-negara yang murah ini kalau ditelusuri betul-betul akan memberikan lebih banyak pengalaman kepada kita sebenarnya.

Ok go!

#1: Cambodia

Angkor Wat kebanggaan mereka.
Angkor Wat kebanggaan mereka.

Cambodia? Kemboja? Sama sahaja kedua-duanya. Di negara ini transaksi jual-beli kebanyakannya menggunakan matawang USD walaupun mereka mempunyai matawang sendiri iaitu Riel. Tapi oleh sebab nilai matawang yang tidak stabil, mereka lebih gemar menggunakan matawang USD, lebih-lebih lagi apabila berurusan dengan pelancong.

Cambodia adalah sebuah negara yang lengkap, daripada sejarah pemerintahan Pol Pot yang kejam dan tidak berperikemanusiaan, binaan Angkor Wat yang gah dan penuh misteri, sehinggalah kepulauan-kepulauan indah yang akan membuatkan anda kagum dengan keindahan ciptaan Tuhan. Semuanya ada di Cambodia, dan harganya sangat murah!

Bayangkan anda boleh menginap di sebuah pulau persendirian Koh Ta Kiev dengan cuma membayar USD6 (RM25) satu malam! Macam gila kan? Tapi itulah hakikatnya.

Kos harian: >RM40

#2: Thailand

Chiang Mai, Ceq Mai!
Chiang Mai, Ceq Mai!

Aha, destinasi pelancongan yang tidak asing lagi buat rakyat Malaysia. Kalau di Hat Yai tu dah seperti di Malaysia dah, boleh berlaga bahu lagi dengan orang kita. Yalah, satu faktor geografinya yang duduk betul-betul bersebelahan dengan negara kita, satu lagi faktor kosnya yang murah.

Tapi sekejap, kalau anda berminat untuk pergi lebih jauh dari Krabi, ambillah tren dan menghala ke bahagian utara Thailand. Menikmati keindahan alam di Chiang Mai dan Chiang Rai memang betul-betul mengasyikkan. Serius tak bohong.

Kalau anda malas untuk berfikir dan merancang, boleh sahaja ambil day-trip untuk ke tempat-tempat pelancongan yang berasaskan alam yang memang superb! Kos day-trip pun tak sampai RM100, kalau pergi sendiri lagilah boleh jimat separuh kan. Pftt, silap-silap suku je kosnya.

Kos harian: >RM40

#3: Vietnam

Lao Cai, lai lai.
Lao Cai, lai lai.

Semenjak beberapa kes yang berlaku tahun lalu dan awal tahun ini, Vietnam telah dikategorikan sebagai negara yang agak bahaya untuk dilawati oleh travellers dari negara kita. Tetapi, kalau dilihat kembali, kebanyakan kes yang berlaku terjadi di Ho Chi Minh, jadi kalau rasa takut, bolehlah skip Ho Chi Minh. Heh!

Di Vietnam, kalau di Ho Chi Minh atau Saigon, memang syurgalah untuk kaki Shopping. Tetapi kalau anda berminat dengan sejarah pun, HCM tidak pernah mengecewakan. Lawatan ke Chu Chi Tunnel yang super murah memang sangat direkomendasi apabila anda ke sana.

Apa? Minat architecture? Jangan risau, dengan lambakan bangunan hasil tinggalan zaman kolonial pasti membuatkan anda berdecit kagum sehingga anda mungkin terlupa bahawa anda masih berada di salah sebuah negara di Asia Tenggara, bukan di eropah.

Tak minat, tak minat. Saya cuma minat keindahan alam.

Fiuh, di Mui Ne sahaja anda boleh bermain di Red Sand Dunes dan White Sand Dunes yang menyerupai oasis padang pasir. Kemudian di Danang, anda akan merasa takjub melihat betapa indahnya dunia yang Tuhan pinjamkan untuk kita ini apabila anda membuang pandangan melihat pantai dan lautan daripada bukit yang diletakkan patung Lady Buddha. Kemudian Ha Long Bay atau mungkin anda lebih berminat untuk menikmati air terjun Ban Gioc? Semuanya tersedia buat anda.

Kos harian: >RM60

#4: Indonesia

Lokasi: Rahsia.
Lokasi: Rahsia.

Uish, salah sebuah negara yang menjadi kegilaan orang kita. Bukan sahaja disebabkan keindahan alam serta tempat-tempat pelancongan menarik yang disediakan, Indonesia juga dikenali disebabkan keramahan orang-orangnya.

Di Indonesia, masih banyak bahagian alam semulajadi yang tidak terusik dan tidak dijamah oleh pelancong. Kiranya, masih dara lah. Tak percaya? Fiuh, tak perlu pergi jauh, lihat sahaja gambar-gambar yang dalam group backpackers dan travellers di Facebook, pasti air liur anda akan meleleh. Serius!

Sudahlah masih dara, tidak terusik, harganya pula sangatlah murah! Bayangkan sewaktu ke Aceh, saya cuma perlu membayar RM30 untuk kos bot dan menyewa alatan snorkeling untuk menikmati keindahan dasar laut di Pulau Rubiah. Dahlah cantik, tak ramai orang pula, murah lagi!

Kos harian: >RM50

#5: Malaysia

mabul
Mabul, impian yang termakbul.

Haaaa, cuti-cuti Malaysia lah.

Jauh-jauh ke tempat orang, jangan dilupa negara kita juga kaya dengan sejarah, budaya dan keindahan alam yang masih terpelihara. Tapi iyalah, tak sedap lah nak bercerita kalau orang tanya,

Cuti hari tu kau ke mana?

Kan?

Tapi jangan risau, apabila anda bercuti atau mengembara sekali pun, tujuannya bukan untuk orang lain, tetapi untuk diri anda sendiri. Tujuannya mungkin boleh jadi berbeza, mungkin anda ingin melepaskan tekanan, atau mungkin anda ingin mencari Tuhan. Mungkin juga anda putus cinta dan perlukan ketenangan atau sebenarnya anda sedang mencari ilham untuk menggubah puisi cinta dan kemanusiaan.

Dan biarlah tujuan itu kembali kepada diri kita sendiri. Jangan pernah berniat untuk memuaskan hati semua manusia. Puaskanlah hati kita, selagi ianya tidak melanggar apa yang telah Tuhan tetapkan.

Kos harian: >RM50

Seronok membaca? Jangan lupa kongsikan dengan rakan-rakan yang lain ya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Itinerari Lengkap ke Sabah Selama Empat Hari Dengan Bajet RM 747

8 Perkara Yang Akan Anda Belajar Ketika Travel Berseorangan