in , , ,

Catatan Lengkap Aku ke Pulau Jeju

 

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Izinkan diri ini berkongsi catatan ringkas ke Pulau Jeju pada Mei tahun lalu. Trip ini pakai redah je dan tika itu Air Asia belum lagi launch direct route ke Pulau Jeju. Dengan harga tiket promosi Airasia hari tu KUL-BUSAN-KUL berharga RM541, maka bermulalah misi backpack kami ke pulau yang terkenal di Korea tersebut. Sebenarnya agak terkilan sebab aku ke sana hanya 3 hari 2 malam lantaran kesuntukan masa, cuti yang tidak mengizinkan.

Pada hari kejadian, lebih kurang pukul 8.00 pagi kami selamat sampai di Gimhae International Airport, Busan Korea. Untuk ke Pulau Jeju, seeloknya dari Busan kerana lebih dekat berbanding dari Seoul. Keluar je pintu international arrival, kami ke bangunan sebelah iaitu terminal domestik untuk urusan pembelian tiket domestik ke Pulau Jeju.

Di sana, kami survey dulu tiket flight yang paling berbaloi dan murah. Terdapat banyak domestic flight yang menawarkan penerbangan ke Pulau Jeju antaranya Jeju Air, Korean Air, Busan Air, Eastar Jet dan Asiana Airlines. Paling murah boleh dapat dengan harga sekitar RM250-RM300 untuk dua hala. Survey punya survey akhirnya kami menempah tiket Jeju Air untuk ke sana dan pulang dengan Korean Air.

Untuk makluman, Pulau Jeju terbahagi kepada dua bahagian iaitu barat dan timur. Bahagian barat mempunyai tempat tarikan seperti Hallim Park, Suwelbong, Spirited Garden, Mount Sanbang, dan Cheonjeyong Waterfall.

Bahagian timur pula mempunyai tempat tarikan utama seperti Seongsan Ilchulbong Peak, Manjanggul Lava Cave, Horseback Riding dan Sangumburi Crater. Dek kerana trip yang singkat maka kami memilih untuk melawat satu bahagian sahaja, kami sepakat untuk menjelajah kawasan timur Jeju.

Sesampai je di airport Jeju, kami ambil shuttle bus untuk ke hotel. Shuttle bus berlambak diluar airport Jeju so korang tak perlu risau cuma perlu pandai tawar menawar harga.

Hotel yang aku tempah beberapa bulan sebelum melalui booking.com iaitu Jeju December Hotel terletak di Jeju New City dengan harga RM200 satu malam amat selesa dan puas hati, berbaloi. Part menarik bila travel ramai sebab boleh sharing bilik so just RM100 sorang satu malam.

Pulau Jeju bagi aku tak macam pulau sangat tapi macam berada di bandar Seoul sebab pembangunan yang pesat, traffic yang penuh kenderaan cuma bezanya takda rangkaian train tapi untuk dapatkan teksi tidaklah begitu susah.

Aku sempat bersembang dengan penjual kedai baju kat sana, dorang tak suggest mrnggunakan perkhidmatan bas sebab jadualnya kadang-kadang tidak menentu.

Baca juga : Itinerari Lengkap Solo Travel Seorang Gadis ke Busan-Seoul selama 10 Hari dengan kos RM 2405 

Dongmun Market

Selepas selesai check in hotel, destinasi pertama kami adalah Pasar Dongmun. Kami cuma mengambil teksi dari bus stop berhampiran hotel ke pasar Dongmun. Tambang teksi tak sampai 6000won so bila kongsi 5 orang lagila jimat.

Manjanggul Lava Cave

Hari kedua di Pulau Jeju, seawal pagi kami ambil pakej all-day-tour,  sewa kenderaan yang ditawarkan oleh hotel yang kami menginap dengan harga 120,000won untuk 8jam. Lokasi pertama adalah Manjanggul Cave.

Manjanggul Cave merupakan terowong lava paling menarik di dunia. Terbentuk sejak 2.5 juta tahun dahulu, terowong ini kaya dengan berbagai bentuk batuan seperti stalagmite yang panjang dan lorong yang terbentuk daripada lava letusan gunung berapi.

Panjang terowong ini adalah 14,422m. Namun begitu hanya 1km daripadanya dibuka kepada para pelawat. Terdapat satu gua di sini yang mana di dalamnya terdapat seketul batu berbentuk penyu (Turtle Stone) yang berbentuk seperti Pulau Jeju.

Pelawat dinasihatkan membawa baju sejuk sewaktu berkunjung ke sini kerana suhu di dalam terowong yang rendah dan sejuk. Pemakaian kasut yang sesuai juga penting bagi mengelakkan anda terjatuh sewaktu meneroka terowong yang licin dan gelap.

Makan tengahari adalah termasuk dalam pakej tour ini. Kami dibawa ke restoran seafood yang terletak berhampiran Seongsan Ilchulbong dan sekali lagi maafkan aku kerana terlupa nama restoran ni kehkehkeh

Seongsan Ilchulbong

Destinasi kedua pula kami dibawa melawat Seongsan Ilchulbong juga dikenali sebagai Seongsan Sunrise Peak, lokasi ini telah diiktiraf antara 7 keajaiban dunia dan merupakan tapak warisan pertama di Korea yang di iktiraf UNESCO bersama dengan Manjanggul Lava Tunnel.

Seorang Ilchulbong muncul di permukaan lautan selepas letusan gunung berapi lebih 100,000 tahun dahulu. Terletak di hujung timur Pulau Jejudo, terdapat kawah yang besar di puncak gunung Seongsan Ilchulbong Peak.

Keluasan kawah adalah 600m lebar dan 90m tinggi. Dikelilingi oleh 99 batu tajam di sekitarnya menjadikan kawah ini kelihatan seperti mahkota semulajadi yang menarik.

Jeju Maze Land

Seterusnya kami dibawa ke Jeju MazeLand. Mazeland merupakan antara taman rekreasi yang popular di Korea. Jika korang teringin untuk mencuba permainan MAZE, bolehlah ke mazeland yang terdapat di Jeju. Mazeland ini juga sangat popular dan sering keluar dalam variety show Korea.

Coffe Breaks – Sugar Badang Coffe

Bagusnya pakej tour yang kami ambil ni adalah termasuk membawa kami ke Coffe shop yang terletak di pantai Iho di mana batu hitam kontras dengan zamrud-biru laut, Hagwi Coast, dan Pelabuhan Aewol. Pelabuhan Aewol ini juga menjadi tempat bagi rumah, restoran seafood dan kapal nelayan yang datang dan pergi. Pantai Hyeopjae juga dekat pelabuhan salah satu pantai yang paling popular di Pulau Jeju, nampak keindahan laut biru dengan pasir putih yang indah serta kincir-kincir angin yang besarrr. Nama Coffe Shop yang kami singgah ni ‘Sugar Badang Coffe’. 

Sangumburi Crater

Selesai acara santai minum kopi sambil menikmati view, kami dibawa pula ke Sangumburi Crater. Tempat ni adalah kawah yang terbentuk dari letusan volcano. Tidak seperti Songsan Ilchulbong, Sangumburi meletus dengan pantas tetapi tidak mengeluarkan lava dan debu yang banyak. Pembentukan kon juga adalah kurang di sekelilingnya. Fenomena ini digelar maru di Korea dan Sangumburi adalah satu-satunya yang terdapat di negara ini. Masa terbaik untuk mengunjungi lokasi ini adalah di musim musim luruh dan musim sejuk sebab view ketika ni lagi ohsem. Bayaran masuk ke sini adalah 6000won.

Mysterious Road

Destinasi terakhir kami hari tu adalah Mysterious Road. Jalan paling misteri di Pulau jeju atau dikenali juga sebagai Dokkaebi Road terletak di kaki gunung. Dipanggil sebagai jalan misteri kerana apa saja objek termasuk kereta dan bas boleh bergerak ke arah bukit meskipun enjin telah dimatikan dan gear diletak pada mod Neutral.

Bagi cecair pula, ia akan mengalir mendaki bukit dan bukannya mengalir ke bawah seperti mana ditempat lain. Hakikatnya ini bukanlah magik tetapi disebabkan oleh ilusi optikal dan suasana di sekeliling yang menjadikan mereka yang berada di sini melihat semua objek bergerak ke arah bukit, meskipun sebenarnya objek tersebut bergerak menurun.

Setelah penat seharian menjelajah timur Pulau Jeju, kami pun pulang ke hotel dengan hati yang riang gumbira dan perlu melelapkan mata lebih awal kerana pagi-pagi buta esoknya kami akan pulang ke tanah air.

 

Sekian sahaja dari saya Asyura Hasan untuk perkongsian kali ini, terima kasih.

P/s Jika anda ada cerita atau itinerari travel yang ingin dikongsikan bersama kami, boleh hantarkan artikel tersebut ke email zulfadhli.theruka@gmail.com.

Jangan lupa like page The Ruka di Facebook dan follow kami di twitter The Ruka!

Baca juga : ITINERARI KE KOREA 6 HARI 5 MALAM DENGAN RM 1500 ALL-IN!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Itinerari ringkas “short & sweet escape” ke bumi Bangkok dengan kos RM 530 All in

Tips dan itinerari 11 hari ke Vietnam-Thailand-Cambodia dengan kos RM 1194. Backpack style!