in , ,

Di Balik ‘Islamophobia’ Nya Eropah

Artikel travelog ini telah ditulis oleh Saudara Faried Adnan. Klik nama beliau untuk ke profil Facebooknya.

St. Paul’s Cathedral, London.

Angin malam melempiaskan bayu kesejukannya di celahan kota metropolitan London. Adakalanya, ditemani dan diiringi gerimis kecil yang mencurahkan nikmatnya, menambahkan lagi nuansa kesejukan malam itu. Suasana malamnya masih hidup dengan kesibukan warga kota, terutamanya di sekitar London Street. Kelihatan bepusu-pusu manusia yang kelur masuk ke kedai-kedai pakaian berjenama di sini, mencari hasil buruan masing-masing.

Setelah puas mencari bagi mendapatkan satu “wind breaker”yang diminati dan dirasakan berbaloi untuk digunakan aku, bagi mengharungi kesejukan perjalanan aku kelak yang berbaki masih jauh, aku mulai mengangkat kaki meninggalkan London Street. Tiba-tiba, kedengaran suara manusia yang seakan-akan bersorak dari jauh.

“Oh, demonstrasi lagi rupanya.”

Cuma, kali ini ianya nampak sedikit tegang dan agak serius. Kelihatan berlaku sedikit pertempuran kecil, di antara pihak demonstrasi dengan beberapa anggota polis yang cuba mengawal keadaan di situ. Aku cuba memerhatikannya dari jauh. Setelah keadaan menjadi sedikit terkawal, lantas aku ke hadapan sedikit bagi melihat apa kesudahan yang telah dan akan berlaku. Barangkali mencari sedikit maklumat yang berguna di sebalik pertempuran kecil itu. Pandangan aku terpana pada satu susuk lelaki yang berada di hadapan aku, yang turut asyik memerhatikan pertempuran kecil itu. Lantas aku cuba menegur nya.

“Pertempuran apa ya di hadapan? Nampak sedikit tegang.” 

“Oh. Entahlah, aku pun tak tau. Kau tau bendera apa yg diorg bawak tu?” 

Sedikit terkejut dengan persoalannya yang secara tiba-tiba, tetapi entah bagaimana dengan yakin dan tanpa sedikit pun keraguan, aku menjawab;

“Oh. Tu bendera Pakistan. Aku rasa ada sesuatu yg sdg berlaku di Pakistan agaknya, yang memungkinkan mereka melakukan demonstrasi di London ini.”

“Oh tak. Tu bendera Kurdish. Mereka ni dari beberapa hari lepas lagi berdemonstrasi di sini. Aku pun tak tahu kenapa.”

Sedikit malu dan bingung, tetapi aku cuma mampu menghiraukannya sahaja. Kemudian, aku kembali bertanya meneruskan perbualan;

“Erm, kamu Muslim?” 

“Ya. Aku Muslim.”

Dan, sempat jugak dia menceritakan beberapa info yg menarik berkenaan komuniti Muslim di situ. Antaranya, bagaimana kehidupan Muslim di situ, adakah serangan Islamophobia merencatkan perkembangan Muslim di Eropah dan bagaimana perkembangan agama syumul ini di Eropah.

Ya benar. Sewaktu aku menjejakkan kaki di kota London ini pada mulanya, kelihatan ramai wanita yang bertudung, di kiri kanan jalan. Barangkali mereka itu sebahagian daripada imigran yang menjadi nadi populasi Muslim di sini, tetapi bilangan itu cukup ramai pada pandangan kecil aku ketika itu. Seringkali aku terdengar, kisah-kisah perkembangan agama yang membawa risalah tauhidNya ini, berkembang dengan pesat di bumi Eropah, tetapi bagaimana dan di mana impaknya? Setelah berjaya menjejakkan kaki ke sini, barulah sedikit-sebanyak aku mampu memahami dan merasai impaknya.

Tanggapan aku ternyata meleset. Firasat awal aku mengatakan yang kehidupan seorang Muslim di sini barangkali terlalu sukar, apatah bagi buat golongan wanita, yang wajib mengenakan tudung bagi melindungi maruah dan aurat mereka. Ternyata silap sama sekali. Adakalanya terasa kagum, melihat wanita “orang putih” menyarungkan hijab dengan baik dan sopan, suatu suasana yang memberi kelainan pada diri aku. Benarlah, kalimah “syahdatain” itu, kian berkembang diburu jiwa-jiwa yang mendahagakan nikmat keimanan dariNya.

Serangan Islamophobia, yang menjadi sensasi dan bualan mulut di tabir-tabir pelusuk kota di Eropah, menjadi kian tegang dan lebih terbuka setelah berlakunya peristiwa serangan 9/11, hakikatnya, tanpa disedari memberikan satu impak yg cukup signifikan pada agama Islam itu sendiri. Ketika itu, hampir keseluruhan jiwa-jiwa manusia yang tidak mengerti situasi sebenar, memandang aneh, jelik dan enteng pada agama Islam, hatta ada juga yang menganggap Muslim itu seolah-olah ‘terrorist’ yang bakal menggugat keamanan dan keharmonian hidup mereka. Tangan-tangan kuffar pula, sedang gasak memainkan peranannya melalui wahana media dan sebagainya, menambahkan lagi benih-benih kebencian dan ketakutan pada agama suci ini.

Walaupun, Islamophobia yang telah berlaku ini memberi banyak tanggapan negatif pada mulanya, rupa-rupanya memberi dampak dan sinar kegemilangan pada agama suci ini di bumi Eropah. Perlahan-lahan ketukan hidayah dan panahan rahmat, menerpa masuk pada jiwa-jiwa yang mula mengkaji akan kebenaran agama ini. Benarlah, setiap yang berlaku, wujud hikmahNya. Cuma pada diri kita, menentukan sisi mana yang harus kita melihat serta mentadaburnya.  Akhirnya, musuh merancang untuk menjatuhkan Islam, rupanya ada hikmah yang lebih baik Allah sediakan buat agama ini di Eropah.

– Faried Adnan

– Oxford Street, London

– 29 Feb 2016

Jangan lupa like page The Ruka di Facebook dan follow kami di twitter The Ruka!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Travelog UK #1: Tuan Erdogan & Kurdish Yang Menghilang

Full English Breakfast