in ,

Full English Breakfast

Artikel travelog ini telah ditulis oleh Saudara Faried Adnan. Klik nama beliau untuk ke profil Facebooknya.

Kota London seperti kebiasaannya di musim sejuk, agak dingin. Sekali-sekalanya disertai gemiris kecil yang menambahkan lagi kedinginan kotanya. Tiupan bayu pagi itu pula, mendayu-dayu bunyinya di luar perkarangan rumah, seakan-akan menggoda diri daripada  terus bangkit dan berganjak daripada tilam yang empuk itu. Ah. Godaan kecil ini harus di tempuhi, makin dilayan makin memberatkan perasaan. Kaki ini harus terus mengorakkan langkahan, manakala ‘backpack’ ini pula harus kembali disandang. Masih ada ruang-ruang kecil dan pelusuk kota London yang belum aku terokai.

Pagi itu, kunjungan aku ke sebuah restoran, yang kelihatan agak bercirikan “Classic British,” memberikan sedikit kesegaran perut seketika, sebelum menyambung pengembaraan kecil ini. Tujuannya hanya untuk mencuba, merasai sajian pagi yang cukup terkenal di bumi Eropah, yang dikenali sebagai ‘Full English Breakfast.’ Pada pemerhatian kecil aku, makanannya sekadar biasa sahaja, tetapi agak menarik. Ianya terdiri daripada hidangan pelbagai aneka makanan, seperti roti, sosej, kacang merah, cendawan goreng, kentang dan juga

Telur goreng, yang dihidangkan di dalam satu pinggan yang sederhana besar. Cuma pendapat aku, harganya boleh tahan mahal, untuk hidangan sebegitu.

Sementara bosan menunggu makanan disiapkan dan dihidang, aku mengambil keputusan menjenguk ke luar restoran sebentar, barangkali hanya sekadar mahu mengambil angin, di samping melihat celoteh dan tingkah laku masyarakat metropolitan London ini.   Di bahagian luar restoran, kelihatan seorang pakcik tua yang begitu khusyuk membaca surat khabar, sambil ditemani secawan kopi di sisi. Perlahan-lahan kopi itu dihirup, memberi sedikit kehangatan buatnya dalam kedinginan pagi itu.

Cuaca di luar menjadi kian sejuk, sekali-sekala anginya menerpa kesejukan ke tubuh kecilku, petanda seakan tidak membenarkan aku untuk berada lebih lama di luar. Tidak berfikir lama, lantas aku kembali masuk ke dalam restoran. Dalam perjalanan pulang ke meja makan yang asal, pandangan aku terpana pada seorang pakcik, yang bersendirian di sudut kecil restoran tersebut. Lagak dan gayanya bukan seperti orang sini, iras wajahnya juga kelihatan tidak mencirikan warga kota London ini. Aku cuba menghampirinya, perlahan-lahan langkahan kecil diatur. Sebelum sempat aku tiba berdekatanya, terlebih dahulu dia menegur aku;

“Cari tandas ke? Oh. Ada di belakang sana.”

“Eh taklah haha. Erm, boleh saya duduk di sini sekali?”

“Oh. Boleh2. Silakan.”

Bicara kecil dimulakan, seperti kebiasaannya, persoalan-persoalan berkenaan maklumat peribadi masing-masing, senantiasa menjadi modal bicara awal buat aku.  Nama dia Roberto. Tekaan awal aku cukup tepat, dia tidak berasal dari London. Berasal dari nagara Itali. Tetapi dek kecintaannya pada kota ini, telah lama dia menetap lama di sini, hampir 10 tahun lamanya. Pekerjaannya sebagai seorang juruterbang, yang sering berulang-alik dari Itali ke London, membuatkanya terus memilih untuk tinggal tetap di sini bersama isteri dan anak-anaknya. Perwatakannya cukup peramah, peribadinya cukup baik, bahkan dia mampu menceritakan serba sedikit kisah hidupnya, tanpa ditanya lebih mendalam oleh aku.

“Oh. Kamu orang Itali rupanya. Kenapa kamu suka tinggal di sini? “

“Di sini aku rasa lebih tenang. Hidup aku lebih tersusun. Bahkan, aku dah bawa isteri dan anak-anak aku untuk tinggal di sini sekali.”

Perbualan menjadi lebih rancak dan mendalam. Aku mula memperkenalkan diri aku sekadar yang diperlukan. Belum sempat aku menghabiskan bicara, secara tiba-tiba Roberto mencelah;

“Oh. Kamu belajar perubatan di Mesir, di mana? Anak aku juga belajar di sana. Di Cairo. Mungkin kamu kenal anak aku ke?”

“Oh tak. Saya belajar di Alexandria. Jauh siket dari Cairo tu. “

“Tapi, aku tak suka negara Mesir. Negaranya sangat berserabut, kotor, tak bersistem. Adab dan akhlak rakyatnya juga sangat teruk. Aku pernah ditipu banyak kali semasa melancong ke Aswan tahun lepas.”

Dalam kekagetan tanpa disangka itu, aku sekadar mengiyakan sahaja. Memang ada benar luahan Roberto itu.

Kemudian, Roberto menambah lagi,

“Kadang-kadang aku keliru, Mesir negara nya majoriti Muslim, tetapi kenapa Muslim di Mesir tak seperti Muslim di London yang aku lihat. Di London mereka kelihatan baik, penuh dengan adab dan bersopan santun. Adakalanya aku sangat tertarik dengan mereka. “

Iya, benar apa yang diungkapkan oleh Roberto. Identiti Islam kian terhakis di bumi Mesir ini. Bahkan di negara-negara Muslim yang lain di dunia juga. Banyak sudut-sudut kehidupan orang Muslim di negara-negara seperti ini, tidak mencerminkan keperibadian Muslim itu sendiri. Bahkan, Mesir hari ini kian menuju ke arah kemusnahan ekonomi, sosial dan beberapa aspek yang lain. Apa yang mampu digahkannya mungkin pada institusi keilmuan di ‘Al-Azhar’ yang begitu pesat sejak dahulu bahkan sehingga sekarang, tetapi kita harus sedar, yang masih terdapat banyak lompong-lompong kehidupan yang perlu diislahkan lagi dari dalam.

Tidak dinafikan peranan tradisi keilmuan yang tinggi, sangat penting dalam pembangunan sesebuah bangsa dan tamadun. Malah sejarah sendiri telah membuktikannya pada kegemilangan bangsa-bangsa terdahulu, terutamanya pada tamadun Abbasiyah di Iraq dan Umayyah di Andalus. Namun, harus juga kita sedari dan selami, tradisi keilmuan semata-mata tanpa penekanan yang sewajarnya diberikan pada soal penghayatan nilai-nilai murni, tidak mungkin kegemilangan tadi itu dapat bertahan dengan begitu lama.

“Roberto, kamu tahu berbahasa Arab Ammiyah? Hehe.”

“Aiwah. Shuwaiyah-shuwaiyah (Ya. Sedikit-sedikit). Aku belajar dengan anak aku, dan kadang-kadang aku sengaja menetap di Cairo sebulan dua untuk belajar sesuatu di sebalik keserabutan kota Cairo itu, dari situlah aku cuba belajar sikit-sikit. “

Aku cuba menambah.

“Benar. Kadang-kadang di sebalik keserabutan Mesir itu terselit pengajaran yang tertentu, yang akan menjadi menarik andai dinilai pada sudut pandang yang betul dan lebih terkehadapan. Cuma bergantung pada diri kita juga untuk mengambil dan menilainya bagaimana.”

“Okay Roberto. Aku terpaksa beransur, boleh aku dapat kan nombor telefon kamu? Mana tahu suatu hari nanti aku akan pergi ke Itali dan dapat bertemu dengan kamu hehe. “

“Oh. Apa salahnya. Nah, amik lah ini.”

“Okay. Syukran. Maassalamah.”

” Maassalamah.”

 

– Faried Adnan

– London City

– 1 Februari 2016

 

Jangan lupa like page The Ruka di Facebook dan follow kami di twitter The Ruka!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Di Balik ‘Islamophobia’ Nya Eropah

Masa untuk beli tiket flight MURAH (serendah RM39) adalah SEKARANG !!!