in

ITINERARI KEMBARA PADANG – MEDAN 8 HARI 7 MALAM DENGAN RM362.80

Amaran: Itinerari ini hanya untuk mereka yang nekad dan berani.

Membaca headline untuk artikle ini saja sudah pasti membuat anda tertanya-tanya. Tujuan amaran itu bukanlah untuk menakut-nakutkan anda tetapi untuk membakar semangat anda sebagai seorang pengembara. Jika anda mempunyai ciri-ciri seorang pengembara yang berani dan nekad sila teruskan membaca.

Indonesia sangat terkenal dengan kekayaan alam semula jadinya. Untuk mengembara sekelilling Indonesia memakan masa yang agak lama kerana negara ini terbahagi kepada beberapa kepulauan-pulauan besar. Seperti Medan dan Padang ia terletak di di Pulau Sumatera yang merupakan pulau keenam terbesar di dunia. Dengan keadaan negeri yang masih belum terusik menjanjikan anda satu pengembaraan ‘back to mother nature’ yang sangat memuaskan.

Seperti pengembara kita kali ini Encik Hazwan Hafiz telah mencabar dirinya bersama adiknya untuk mengembara dari Padang ke Medan dan pulang ke tanah air dengan menaiki feri. Kenapa susah-susah nak naik feri sedangkan boleh menaiki kapal terbang. Bagaimanapun persoalan itu sukar dijawab. Setiap orang ada misinya yang tersendiri. Bagi Hafiz, bukan tempat atau destinasi yang dituju menjadi keutamaan, tetapi bagaimana kita menikmati perjalananan itu sendiri.

Okay, tarik nafas dan hembus perlahan-lahan. Hayati itinerary ke Padang dan Medan ini sambil merancang pengembaraan anda.

Dibawah ini saya sertakan perjalanan dan bajet Padang – Medan

Route

KL – Padang – Bukit Tinggi – Parapat – Pulau Samosir – Danau Toba – Medan – Tanjung Balai – Pelabuhan Klang

Bajet (Per person)

Flight KL – Padang = RM 99.00

Trafel (minivan) Airport – Bukit Tinggi = IDR 50 000

Simkad + Topup = IDR 24 000

Asian Hotel, Bukit Tinggi (2 Malam) = IDR 62 500

Sewa Skuter = IDR 25 000 + IDR 45 000

Minyak motor = IDR 11 000 + IDR 13 500

Tiket + Parking Lembah Harau = IDR 5 000 + IDR 2 000

Tiket Bas Bukit Tinggi – Parapat = IDR 210 000 + IDR 50 000 (tukar bas ke minivan)

Internet Café = IDR 3 000

Angkutan Kota ke Terminal Aur Kuning = IDR 2 500

Angkutan Parapat – Jeti Tigaraja = IDR 3 000

Feri Tigaraja = IDR 10 000

Rodeo Guesthouse = IDR 75 000

Tiket Menara Tinjau Tele = IDR 2 000

Feri Tuktuk – Tigaraja = IDR 10 000

Trafel Parapat – Medan = IDR 50 000

Residence Hotel = IDR 47 500

Tiket Keretapi Medan – Tanjung Balai = IDR 20 000

Becak Motor = IDR 10 000 + IDR 7 500

Amanda Hotel, Tanjung Balai = IDR 67 500

Tiket Feri Jetstar Services = IDR 390 000

Caj Pelabuhan Tanjung = IDR 20 000

TOTAL = IDR 1 189 616

 

KEMBARA TRANS SUMATERA 8 HARI 7 MALAM

Bermacam pengalaman yang kami tempuh sepanjang perjalanan di Sumatera ini. Laluan perjalanan darat dengan minivan bermula di Sumatera Barat iaitu dari Padang sebelum menuju ke Bukit Tinggi. Dari Bukit Tinggi, kami bergerak menuju Parapat untuk ke Pulau Samosir (Danau Toba) dan seterusnya ke kota Medan di Sumatera Utara. Perjalanan balik kami adalah melalui kapal laut (feri) jurusan Tanjung Balai ke Pelabuhan Klang melalui Selat Melaka.

HARI 1

KL-PADANG (BUKIT TINGGI)

Jadual penerbangan ke Padang dijadualkan pada pukul 7.50 pagi.

Penerbangan ke Padang hanya mengambil masa 45 minit.

Sampai di sana selepas selesai urusan imigresian kami mengambil trafel (minivan) dari Bandar Minangkabau ke Bukit Tinggi. Tujuan kami ke sini adalah untuk mencari guest house dan kami memilih untuk menginap di Asean Hotel yang menawarkan harga lebih murah.

Setelah check in hotel kami keluar semula untuk jalan-jalan sekitar Bandar Bukit Tinggi.

Sedikit fakta berkenaan Bukit Tinggi. Bukit Tinggi merupakan sebuah kota yang terbesar di Sumatera Barat dan terletak kira-kira 930 m dari paras laut. Pada zaman penjajahan Belanda, kota ini dikenali sebagai ‘Fort De Kock’. Ia terletak lebih kurang 90 KM dari kota Padang dan dikelilingi oleh gunung berapi seperti Gunung Singgalang dan Gunung Marapi. Oleh kerana terletak di kawasan pergunungan, suhu persekitaran Bukit Tinggi adalah sedikit dingin.

Kota Bukit Tinggi juga adalah kota berkembar dengan kota Seremban di Negeri Sembilan. Kalau datang sini, boleh jumpa papan tanda Bukit Tinggi-Seremban Kota Berkembar.

Jam gadang
Suasana petang di Bukit Tinggi

HARI 2

BUKIT TINGGI – DANAU MANINJAU – LEMBAH HARAU – KELOK 9 – KOTA PAYAKUMBUH

Selesai sarapan kami bersiap keluar mencari motor sewa. Dapat saja skuter pagi tu, kami terus merempit menuju ke Danau Maninjau.

Setelah sejam setengah perjalanan dengan jarak lebih kurang 30km naik turun bukit kami tiba di Danau Maninjau. Apa yang saya dapat katakan suasana di Danau Meninjau ini cukup nyaman dan menenangkan. Kalau boleh memang nak tinggal sini terus jadi pak supir. Hehehe

DSCN6068
Pemandangn Danau Meninjau yang tenang.

Perjalanan ke pulang ke Bukit Tinggi pula kami ikut jalan besar, melalui kawasan pekan yang agak sibuk sekitar Padang Panjang sebelum tiba di Bukit Tinggi.

Pada sebelah petang kami mengambil keputusan untuk ke Lembah Harau. Lembah Harau terletak 50km dari Bukit Tinggi. Wah lagi lenguh la punggung nak ke sana. Tapi nama pun pengembara kan? Jadi langgar je la. Hahaha

Untuk ke Lembah Harau kita perlu melalui Kota Payakumbuh. Dari kota Payakumbuh terus sahaja mengikut jalan menuju Pekan Baru. Teruskan perjalanan sehingga ternampak pintu gerbang yang tertera tulisan kawasan wisata Lembah Harau. Terus sahaja masuk dan akan melalui kawasan sawah-sawah padi di kiri dan kanan jalan.

Tiket masuk sebanyak IDR 5 000 dikenakan ke Lembah Harau.

Tebing tinggi mengapit sawah di Lembah Harau.
Tebing tinggi mengapit sawah di Lembah Harau.

Di Lembah Harau, terdapat beberapa air terjun yang mengalir dari tebing-tebing tinggi di sini. Tetapi kami pergi tidak tepat pada masanya jadi air terjun yang mengalir juga tidak deras.

Selepas puas meneroka Lembah Harau kami ke Kelok 9. Kelok 9 yang terletak lebih kurang 20 KM dari Lembah Harau merupakan suatu keajaiban kejuruteraan yang mengambil masa hampir 10 tahun untuk disiapkan. Ia dinamakan sebagai Kelok 9 kerana mempunyai 9 kelok atau selekoh tajam yang berbentuk zig-zag yang menghubungkan dua bukit bersebelahan. Pada masa yang sama, Kelok 9 mempunyai Jambatan Layang yang jaraknya hampir 2.5 Kilometer dan ketinggian mencapai 58 meter.

2014-08-21 10.10.34 1
Jalan Kelok 9 yang merupakan salah satu ikon Sumatera Barat dibina bagi menghubungkan kota Bukit Tinggi dan Pekan Baru

Oleh kerana kami dari Kelok 9 sudah senja jadi kami terus ke Kota Payakumbuh untuk makan malam sambil mengambil angin malam di Kota Payakumbuh. Kemudian kami terus pulang ke hotel.

HARI 3

BUKIT TINGGI – PARAPAT (DANAU TOBA)

Kami ke Stesen Aur Kuning menaiki bas untuk ke Parapat.

Kemudian kami ke Taman Wisata Panorama dengan harga tiket IDR 3 000 sahaja. Kami masuk dan melihat pemandangan Ngarai Sianok yang sangat memukau. Patutlah ia digelar sebagai ‘Grand Canyon Asia’ dengan Gunung Singgalang di latar belakangnya.

Ngarai Sianok
Ngarai Sianok

Hampir jam 6.00 petang kami bergegas ke Stesen Aur Kuning selepas menaiki angkut dari Bukit Tinggi.

Tetapi bas yang di tunggu tidak kesampian kerana ada masalah. Jadi terpaksa menaiki trafel (minivan) ke Parapat.

HARI 4

PARAPAT – SAMOSIR

Dari lepas Isyak semalam hingga ke waktu Zuhur hari berikutnya trafel yang membawa kami masih lagi belum tiba ke destinasi iaitu ke Parapat. Jam 4.00 petang, kami tiba di pekan Parapat.

Kemudian kami terus menaiki trafel untuk ke Jeti Tigaraja. Kami juga sudah membeli tiket ke Medan yang berharga IDR 50 000.

Sampai di jeti kami menaiki bot untuk ke daerah Tuktuk di Pulau Samosir. Tiket bot IDR 10 000 dan perjalanan hampir 45 minit. Pemandangan semasa perjalanan di Danau Toba memang sangat indah ditambah pulak selepas hujan, berkabus ! Feeling-feeling macam di New Zealand gituuu. Hahaha

Sampai sahaja kami terus check in hotel. Lega sungguh dapat mandi selepas lebih 20jam perjalanan.

2014-08-23 17.37.47
Pemandangan menarik menghadap Danau Toba di Rodeo Guesthouse.

HARI 5

DANAU TOBA

Bangkit tidur terus kami bersiap untuk program menjelajah Pulau Samosir ini. Hanya hari ini sahaja kami berpeluang melihat kawasan sekitar Danau Toba sebelum menuju ke kota Medan keesokan hari.

Danau Toba adalah sebuah danau tekto-vulkanik yang terletak di Provinsi Sumatera UtaraIndonesia. Danau ini merupakan danau terbesar di Indonesia dan Asia Tenggara. Di tengah danau ini terdapat sebuah pulau vulkanik bernama Pulau Samosir.

Jadi untuk pusing-pusing sekitar Danau Toba kami telah menyewa skuter dengan harga IDR 90 000 untuk satu hari. Maka ayuhlah kita pusing satu Danau Toba.

DSCN6230
Pemandangan pagi yang cukup memukau di Danau Toba

 

2014-08-29 01.08.46 1
Lokasi indah yang tersembunyi di Pulau Samosir, Danau Toba ini.

 

DSCN6369
Bukit-bukit vulkanik Danau Toba.

Kami berjalan-jalan di sekitar Danau Toba sehingga jam 6.30 petang. Itu pun banyak lagi yang kami belum explore. Pada saya Danau Toba ini terlalu padat. Satu hari disini semestinya tidak cukup. Saya perlu datang semula kesini nanti!

HARI 6

PULAU SAMOSIR – KOTA MEDAN

Jadual keberangkatan feri dari Tuktuk ke Tigaraja atau sebaliknya adalah sejam sekali. Kalau dari Tuktuk ke Tigaraja seawal jam 7.00 pagi dan terakhir pada pukul 5.30 petang.

Tiba di Jeti Tigaraja kami terus menunjukkan tiket yang telah diberi beberepa hari lepas kepada seorang kakitangan (travel agency), dan dengan cepat kami diarahkan untuk menaiki sebuah trafel yang telah cukup dengan penumpang, hampir semuanya adalah mat saleh.

Jam 4.00 petang, kami tiba di kota Medan, kota terbesar di Sumatra dalam keadaan hujan renyai-renyai. Kami singgah solat di Masjid Raya Medan dan kemudian mencari tempat penginapan.

Pada sebelah malam kami hanya berehat dan menikmati pemandangan kota Medan dari atas bilik penginapan sahaja.

Tenaga perlu di cas untuk ke Tanjung Balai pula esok hari.

HARI 7

MEDAN – TANJUNG BALAI

Selamat pagi kota Medan. Hari baru pagi baru. Hari ini kami akan meninggalkan Medan dan bergerak menuju ke Tanjung Balai yang terletak di wilayah Asahan. Mengapa nak ke Tanjung Balai ? Ada apa di sana ? Sebenarnya kami bercadang untuk pulang kembali ke Malaysia dengan menaiki feri dari Tanjung Balai ke Pelabuhan Klang.

Kami memutuskan untuk menaiki keretapi dari Medan ke Tanjung Balai. Sebenarnya terdapat bermacam cara untuk ke Tanjung Balai dari Medan. Boleh naik trafel, bas dan sebagainya.

Dari Residence Hotel, kami memutuskan untuk berjalan kaki membelah kota Medan untuk ke stesen keretapi. Jaraknya juga cuma 2km sahaja. Ini juga peluang untuk kami lebih menghayati keindahan kota Medan.

Lebih kurang 9.30 pagi, kami tiba di Stesen Keretapi Medan. Harga tiket jurusan Medan-Tanjung Balai berharga Rp 20,000 setiap seorang dan waktu keberangkatan pada pukul 12.40 tengahari.

Untuk memanfaatkan masa yang ada sebelum check out jam 12 pm kami singgah di Pajak Ikan. Kawasan Pajak Ikan ini merupakan deretan kedai yang menjual kain baju, kain bidang, telekung dan pelbagai lagi barangan tekstil. Kalau di Malaysia lebih kurang Jalan Tuanku Abdul Rahman la gitu. Nama je Pajak Ikan, barang basah pun. Hahaha

Selepas puas pusing satu Pajak Ikan kami pulang ke hotel untuk mandi dan check out. Kemudian terus ke stesen keretapi. Mampir dulu kota Medan sampai ketemu lagi!

2014-08-26 01.20.03 1
Memang tak jumpa orang Malaysia yang naik keretapi dari Medan ke Tanjung Balai ni. Kami je yang gigih nak naik.

Kami tiba di Tanjung Balai lebih kurang jam 5.00 petang. Walaupun hanya 200 KM sahaja, tapi masa perjalananan hampir 4 jam setengah. Dengan bantuan becak motor kami ke Ananda Hotel untuk menginap di situ sebelum menyambung perjalanan pulang ke tanah air keesokkannya.

Malam itu kami berjalan sekitar Pekan Tanjung Balai untuk mencari makanan. Dan kebetulan kami ternampak sebuah premis menjual tiket feri untuk ke Pelabuhan Klang. Benarlah, urusan si pengembara ini selalu di permudahkan. Alhamdulillah

HARI 8

TANJUNG BALAI – PELABUHAN KLANG

Hari terakhir di Idonesia Raya. Waduh kok cepat bangat yaa ku pikirin seperti baru semalam kita ketemu Idonesiaku. Hahaha gitu lah pengembara lama mana masa yang diberi pun tetap tak puas untuk mengembara.

Jam 7.00 pagi kami dah tercongok di pejabat tiket feri. Kami akan di bawa menaiki bas untuk ke Jeti Tanjung Balai.

Jam 10.00 pagi feri mula bergerak ke Pelabuahan Klang

Setelah menempuh gelora ombak lebih 6 jam, kami akhirnya tiba di Terminal Antarabangsa Pelabuhan Klang. Selepas itu kami menaiki KTM untuk pulang ke Kuala Lumpur. Alhamdulillah misi Trans Sumatera kami berjaya! Terima kasih Idonesia.

 

Written by Ismi Salbiah

semester 1 ijazah penulis jalanan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Itinerari 3 Gadis ke Jogjakarta Selama 6 Hari 5 Malam dengan Bajet RM618 sahaja!

ITINERARI 4 HARI 3 MALAM KE BEIJING, CHINA DENGAN BAJET RM 450 SERTA 12 TIPS YANG ANDA WAJIB TAHU