in , ,

Travelog UK #1: Tuan Erdogan & Kurdish Yang Menghilang

Artikel travelog ini telah ditulis oleh Saudara Faried Adnan. Klik nama beliau untuk ke profil Facebooknya.

University College of London.

Di suatu petang, tatkala aku begitu asyik bersiar-siar di kota London, tiba-tiba terdengar satu sorakan yang agak kuat di hadapan, memekik-mekik, seolah-olah ada sesuatu yang cuba mereka sampaikan. Aku cuba menghampiri, perlahan-lahan derapan kaki ini dilangkah, sekadar hanya ingin mengambil tahu. Kelihatan sepanduk-sepanduk dijulang, dikibarkan, yang memaparkan mesej-mesej tertentu, yang sudah pastinya merupakan aspirasi mereka. Getus perasaan aku,

“Oh. Demonstrasi rupanya. Barangkali ini demonstrasi aman.”

Perasaan takut berbaur risau juga hadir seketika. Teringat kembali kenangan sewaktu di tahun 1, pengajian aku di Mesir. Tatkala itu, negara Mesir bergolak dek rampasan kuasa oleh tentera terhadap kepimpinan Mursi. Aku berpeluang menyaksikan, bahkan mengkuti demostrasi ini secara lebih dekat. Sekilas lalu, terbayang-bayang suasana deretan kereta terbakar di tepi jalan, pokok-pokok yang tumbang, batu-bata yang tercungkil dan berselerekan di atas jalan raya, benteng-benteng pasir yang dibina sebagai perlindungan, deretan kereta kebal yang mencuba mengawal keadaan serta gerombolan manusia yang berdemostrasi dengan memakai topeng, bersenjatakan parang, bahkan ada juga yang memilki senjata api. Gerun, takut, tetapi kehidupan ketika itu tetap harus diteruskan. Apatah lagi, jerit-pekik laungan demonstrasi baik daripada pihak Mursi hatta pihak pembangkang, saban hari kedengaran, sehingakan menjadi halwa telinga aku sewaktu itu.

Satu demonstrasi aman di London.

Perlahan demi perlahan, langkahan diatur. Aku makin menghampiri, memasangkan telinga, cuba untuk mencuri dengar laungan mereka. Tetapi, tenyata gagal dan sia-sia, aku tidak dapat memahami isu apa yang sedang mereka suarakan. Tiba-tiba, salah seorang peserta demonstrasi tersebut, menghulurkan sehelai risalah kepada aku. Lantas, aku mencapainya dan terus membacanya dengan teliti.

“TURKISH STATE & PRESIDENT ERDOGAN’S FORCES OF WAR CONDUCT MASSACRE IN KURDISTAN !!”

Aku terkesima, buntu dan keliru. Segalanya ada.

“Err, biar betul? Eh, betul ke cerita ni?”

Presiden Turki, yakni Tuan Erdogan yang pada tanggapan aku, hatta di mata muslim seantero dunia barangkali, cukup baik budi pekertinya, berwawasan serta tegas pada prinsip yang dipegang beliau. Tidak dinafikan, tidak ada manusia yang sempurna segala-galanya, setiap anak Adam ada baik buruknya. Tetap, tidak mungkin sehingga sanggup berbunuh-bunuhan, apatah lagi sesama darah daging seakidah sendiri, melakukan pembersihan etnik secara semberono tanpa siasatan yang teliti. Tidak mungkin. Menurut mereka, Erdogan berbuat sedemikian kerana menuduh etnik Kurdish ini, sebagai pro-ISIS. Wallahualam.

Berbicara berkenaan kaum Kurdish, fikiran aku teringat pada satu tokoh pahlawan Islam, yang asalnya daripada keturunan ini, yakni Sultan Sallehudin al-Ayubi, seorang panglima tentera yang agung, berkhidmat penuh bakti pada Nuruddin al-Zanki. Jasa dan pengorbanan beliau, cukup besar signifikasinya dalam membantu perkembangan syiar Islam. Usaha pertamanya yang telah berjaya membuka bumi Mesir, lantas menghapuskan saki-baki kerajaan Syiah Fatimiyyah, yang telah lama bertapak di situ. Begitu juga, di dalam perang Hittin, al-Ayubi menggapai kemenangan yang besar, serta memudahkan beliau untuk menawan kota Al-Quds semula daripada tentera Salib. Cukup hebat, susuk diri al Ayubi ini.

Tetapi, itu Kurdish yang terdahulu, yang dibanggakan dalam lembaran sejarah perkembangan Islam. Apa yang menyedihkannya sekarang, penempatan etnik Kurdish ini telah dipecah-belahkan. Perjanjian Sykes-Pycot, perjanjian yang telah membahagikan jajahan kerajaan Uthmaniyah, kepada beberapa sempadan yang tertentu, yang diatur dan dilakarkan oleh mereka-mereka yang tidak bertanggungjawab. Perjanjian tersebut cukup memberi kesan yang besar kepada etnik Kurdish ini.  Dikatakan mereka berbuat sedemikian, dengan harapan agar al-Ayubi yang ke-2, tidak akan dilahirkan lagi daripada keturunan Kurdish.

Bagaimana pun, berita berkenaan Erdogan yang melakukan kezaliman terhadap etnik Kurdish itu, harapnya tidak benar. Sungguh, fitnah di akhir zaman kian mengcengkam kita. Adakalanya kita buntu, kita terperangkap dengan permainan dunia ini, yang akhirnya hanya memberi keuntungan kepada musuh-musush Islam sahaja.

 

– Faried Adnan

– 28 Februari 2016,

– London City

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Jelajah Pulau di Lombok Selama 6 Hari Dengan Kos RM 806. Ini itinerari Saya Sepanjang Perjalanan

Di Balik ‘Islamophobia’ Nya Eropah